Pages

Thursday, November 4, 2010

Kanak-kanak 3 tahun maut dalam kebakaran

GOMBAK: Kegembiraan lima sekeluarga untuk menyambut perayaan Deepavali esok bertukar tragedi selepas sebahagian rumah mereka musnah dalam kebakaran yang turut menyebabkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun meninggal dunia akibat melecur. 

Dalam kebakaran jam 11.30 pagi tadi di tingkat dua rumah kedai tiga tingkat di Central Point, Taman Sri Gombak, di sini, mangsa dipercayai terperangkap dalam kepulan asap di sebuah bilik dan tidak dapat diselamatkan ahli keluarganya berikutan api marak dengan cepat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Zakaria Aini, berkata anggota bomba yang tiba di tempat kejadian 14 minit kemudian berjaya mengeluarkan kanak-kanak itu yang juga anak bongsu keluarga berkenaan sebelum dikejarkan ke hospital.
Bagaimanapun, katanya, mangsa yang melecur di kepala, muka dan tangan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang, manakala ahli keluarga mangsa yang lain tidak cedera. 

Beliau berkata, seramai 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Gombak Selatan dan Rawang dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 11.33 pagi. 

“Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian depan rumah kedai berkenaan dan api dapat dikawal jam 12.13 tengah hari sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya enam minit kemudian. 

“Kita masih lagi menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan anggaran nilai kerugian,” katanya.

No comments:

Post a Comment